Thursday, October 15, 2009

PUASA SYAWWAL PELENGKAP PUASA SETAHUN

Abu Ayyub Al-Ansari r.a. meriwayatkan, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti dia berpuasa selama satu tahun .” (Riwayat Muslim).

Imam Ahmad dan Al-Nasa'i, meriwayatkan daripada Thauban, Nabi s.a.w bersabda maksudnya: "Puasa Ramadan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) sepuluh bulan, sedangkan puasa enam hari (di bulan Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh." (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam "Sahih" mereka.)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa berpuasa Ramadan lantas disambung dengan enam hari di bulan Syawal, maka dia bagaikan telah berpuasa selama setahun. " (Riwayat Al-Bazzar)

Antara manfaat puasa setelah Ramadan seperti berikut:

  1. Puasa enam hari di bulan Syawal setelah Ramadan, merupakan pelengkap dan penyempurna pahala daripada puasa setahun penuh.
  2. Puasa Syawal dan Sya'ban bagaikan solat sunat rawatib. Ia berfungsi sebagai penyempurna daripada kekurangan. Ini kerana pada hari Kiamat kelak, segala amalan fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan amalan sunat, sebagaimana keterangan yang datang daripada Nabi s.a.w. melalui pelbagai riwayat. Seandainya puasa fardu yang dilakukan oleh kaum muslimin memiliki kekurangan dan tidak sempurna, maka hal itu memerlukan sesuatu yang menampungnya dan menyempurnakannya.
  3. Membiasakan puasa setelah Ramadan menandakan diterimanya puasa Ramadan. Ini kerana apabila Allah s.w.t. menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan amalan yang baik setelahnya.
  4. Antara manfaat puasa enam hari bulan Syawal jua ialah amal-amal yang dikerjakan oleh seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya pada bulan Ramadan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini, selama dia masih hidup.

Seorang yang berpuasa setelah Ramadannya bagaikan seorang yang cepat-cepat kembali ke perjuangan fi sabilillah setelah pulang ke kampung halamannya. Ini kerana tidak sedikit manusia yang gembira dengan berlalunya Ramadan disebabkan mereka tdak lagi merasa berat, letih dan menahan diri lantaran berpuasa Ramadan. Seorang yang merasai demikian, maka berat baginya untuk bersegera kembali melaksanakan puasa. Padahal orang yang bersegera kembali melaksanakan puasa setelah 'Idul Fitri merupakan bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa. Dia tidak merasa bosan dan berat apalagi benci.

Seorang Ulama salaf ditanya tentang kaum yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadan tetapi jika Ramadan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi. Beliau berkata, "Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan saja, padahal orang salih adalah yang beribadah dengan sungguh-sunggguh di sepanjang tahun."

Seandainya seorang yang memiliki hutang puasa Ramadan lalu mula membayarnya di bulan Syawal, hal itu mempercepatkan proses pembebasan dirinya daripada tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal. Dengan demikian, dia telah melakukan puasa Ramadan dan menyusulinya dengan enam hari di bulan Syawal.

Ketahuilah, amal perbuatan seorang mukmin itu tidak ada batasnya sehinggalah maut menjemputnya. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud : "Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal) " (Al-Hijr: 99)

Perlu diingatkan juga bahawa solat dan puasa sunat serta sedekah yang dikemukakan oleh seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. pada bulan Ramadan adalah disyari'atkan sepanjang tahun. Ini kerana hal itu mengandungi pelbagai macam manfaat, di antaranya; ia sebagai pelengkap daripada kekurangan yang terdapat pada fardu, merupakan salah satu faktor yang mendatangkan mahabbah (kecintaan) Allah kepada hamba-Nya, sebab terkabulnya doa, demikian pula sebagai sebab dihapusnya dosa dan dilipatgandakannya pahala kebaikan dan ditinggikannya kedudukan.

Hanya kepada Allah tempat memohon pertolongan, selawat dan salam di panjatkan selalu ke Junjungan Nabi tercinta, seluruh keluarga dan sahabatnya.


DIPETIK DARIPADA BUKU : RISALAH RAMADAN : MERAIH LAILATUL QADAR

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komentar anda!