Wednesday, September 9, 2009

ARTIKEL TERPILIH : AMALAN UNTUK MERAIH LAILATUL QADAR

Diriwayatkan di dalam Sahihain daripada Aisyah r.a., katanya : "Apabila masuk sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w. mengikat kain sarungnya (menjauhkan diri daripada menggauli isterinya), menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya. " Demikian menurut lafaz Imam Al-Bukhari.


Adapun di dalam lafaz Imam Muslim berbunyi : "Baginda menghidupkan malamnya, mengejutkan keluarganya, dan bersungguh-sungguh serta mengikatkan kainnya.”


Di dalam riwayat lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.a.: "Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh dalam sepuluh (hari) akhir (bulan Ramadan), keadaan yang tidak baginda lakukan pada bulan yang lain.”


Berikut adalah amalan yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. pada sepuluh hari terakhir tersebut:


i. Menghidupkan malam:


Ini membawa maksud bahawa baginda menghidupkan seluruh malamnya, dan kemungkinan juga baginda menghidupkan sebahagian besar daripadanya. Dalam Sahih Muslim daripada Aisyah r.a., katanya: "Aku tidak pernah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. solat malam hingga pagi. "


Diriwayatkan dalam hadis marfu' daripada Abu Ja'far Muhammad bin Ali : "Sesiapa mendapati Ramadan dalam keadaan sihat dan sebagai seorang Muslim, lalu berpuasa pada siang harinya dan melakukan solat pada sebahagian malamnya, juga menundukkan pandangannya, menjaga kemaluan, lisan dan tangannya, serta menjaga solatnya secara berjemaah dan bersegera berangkat untuk solat Jumaat; sesungguhnya dia telah puasa sebulan (penuh), beroleh pahala yang sempurna, mendapat Lailatul Qadar serta berbahagia dengan hadiah daripada Tuhan Yang Maha Suci dan Maha Tinggi. " Abu Jaafar berkata: “Hadiah yang tidak serupa dengan hadiah-hadiah para penguasa.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya).


Rasulullah s.a.w. mengejutkan dan membangunkan ahli keluarganya untuk solat pada malam-malam sepuluh hari terakhir, sedangkan baginda tidak melakukannya pada malam-malam yang lain.


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar r.a. disebutkan: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan solat bersama mereka (para sahabat) pada malam dua puluh tiga (23), dua puluh lima (25), dan dua puluh tujuh (27) dan disebutkan bahawa baginda mengajak ahli keluarga dan isteri-isterinya (untuk bersolat) pada malam dua puluh tujuh (27) sahaja. "


Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa baginda sangat menekankan dalam mengejutkan ahli keluarganya pada malam-malam yang diharapkan berlaku Lailatul Qadar padanya.


Al-Tabrani meriwayatkan daripada Ali r.a. : "Bahawa Rasulullah s.a.w. mengejutkan ahli keluarganya pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadan, termasuk setiap kanak-kanak dan orang tua yang mampu melakukan solat. "


ii. Mengakhirkan berbuka atau makan malam hingga waktu sahur


Diriwayatkan daripada Aisyah dan Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pada malam-malam sepuluh (akhir bulan Ramadan) menjadikan makan malamnya (berbuka puasa) pada waktu sahur.


Dalam hadis marfu' daripada Abu Sa'id r.a., katanya : "Janganlah kamu menyambung (puasa). Jika salah seorang daripada kamu ingin menyambung (puasanya), maka hendaklah dia menyambung hingga waktu sahur (sahaja)." Mereka bertanya: "Sesungguhnya engkau menyambungnya wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Sesungguhnya aku tidak seperti kamu. Sesungguhnya pada malam hari ada yang memberiku makan dan minum. "(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)


Ini menunjukkan kesungguhan Rasulullah s.a.w. untuk beribadah pada malam-malam yang terakhir Ramadan. Oleh kerana itu, hati baginda dipenuhi ma’rifah rabbaniyyah (pengetahuan dan kecintaan yang mendalam terhadap Allah s. w.t) sehingga mengenyangkannya dan baginda tidak lagi memerlukan makan dan minum.


iii. Mandi di antara Maghrib dan Isya'.


Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Aisyah r.a., katanya : "Rasulullah s.a.w. jika bulan Ramadan (seperti biasanya) akan tidur dan bangun. Tetapi tatkala memasuki sepuluh hari terakhir, baginda mengikatkan kainnya dan menjauhkan diri daripada (menggauli) isteri-isterinya, serta mandi di antara Maghrib dan Isya."


Ibnu Jarir berkata, “ Mereka menyukai mandi pada setiap malam dari malam-malam sepuluh hari terakhir. Di kalangan mereka ada yang mandi dan menggunakan wangi-wangian pada malam-malam yang paling diharapkan turunnya Lailatul Qadar.”


Oleh kerana itu, dianjurkan pada malam-malam yang diharapkan padanya berlaku Lailatul Qadar untuk membersihkan diri, menggunakan wangi-wangian dan berhias dengan mandi sebelumnya, serta berpakaian yang sebaik-baiknya, sebagaimana dianjurkan hal tersebut pada waktu solat Jum'at dan hari raya.


Namun begitu, tidaklah dianggap sempurna berhias secara lahir tanpa disertai dengan berhias secara batin. Iaitu dengan kembali (kepada Allah), bertaubat dan mensucikan diri daripada dosa-dosa. Sememangnya berhias secara lahir, tidak ada manfaatnya, jika batinnya rosak.


Allah tidak melihat kepada rupa dan jasad, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan. Oleh sebab itu, sesiapa yang menghadap kepada Allah, hendaklah dia berhias secara lahiriah dengan pakaian dan batiniah dengan taqwa. Allah Ta'ala berfirman yang bermaksud : "Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Pakaian taqwa itulah yang paling baik. " (Al-A'raf: ayat 26).


iv. I'tikaf.


Dalam Sahihain disebutkan, daripada Aisyah r.a. : “ Bahawa Nabi s.a.w. sentiasa beri'tikaf pada sepuluh hari terakhir dari Ramadan, sehingga Allah mewafatkan baginda. "


Nabi s.a.w. melakukan i'tikaf pada sepuluh hari terakhir bagi mencari Lailatul Qadar. I’tikaf itu adalah untuk menghentikan pelbagai kesibukan, mengosongkan fikiran dan untuk mengasingkan diri demi bermunajat kepada Allah s.w.t., berzikir dan berdo'a kepada-Nya.


Atas dasar tersebut, para ulama menyatakan bahawa makna dan hakikat i'tikaf adalah:

Memutuskan hubungan dengan segenap makhluk untuk menyambung penghambaan kepada AI-Khaliq. Beruzlah (mengasingkan diri) yang disyari'atkan kepada umat ini ialah dengan i'tikaf di dalam masjid-masjid, khususnya pada bulan Ramadan, dan lebih khusus lagi pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w.


Orang yang beri'tikaf telah mengikatkan dirinya untuk taat kepada Allah, berzikir dan berdo'a kepada-Nya, serta memutuskan dirinya daripada segala hal yang memalingkan diri dari-Nya. Dia beri'tikaf dengan hatinya kepada Tuhannya, dan dengan sesuatu yang mendekatkan dirinya kepada-Nya. Dia tidak memiliki keinginan lain kecuali Allah dan reda-Nya. (Lihat kitab Lata'if al-Ma'arif karangan Ibnu Rejab, hlm. 196-203).


PETUA MENCARI LAILATUL QADAR


Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai Lailatul Qadar, maka ada di kalangan ulama menyatakan bahawa malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 dari bulan Ramadan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadan.


Daripada keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatul Qadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadan.


Imam Al-Ghazali Rahimahullah pula berpendapat, malam berlakunya Lailatul Qadar itu boleh dikenali dengan cara yang berikut:
- Jika awal Ramadan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 29 Ramadan.
- Jika awal Ramadan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21 Ramadan.
- Jika awal Ramadan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 Ramadan.
- Jika awal Ramadan jatuh pada hari Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23 Ramadan.


Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.


Petikan daripada Buku : Risalah Ramadan : Meraih Lailatul Qadar

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komentar anda!